Baja organik berasaskan najis babi pula didedahkan

Hati-hati kepada sesiapa yang menggunakan baja organik keluaran bukan produk muslim.

Berita petikan Sumber: Utusan Malaysia Online



KUALA LUMPUR 30 Mac - Selepas digemparkan isu makanan halal dan haram tidak lama dahulu, Persidangan Dewan Rakyat hari ini didedahkan pula dengan penggunaan baja organik dari China yang mempunyai bahan utama berasaskan najis babi.

Lebih mengejutkan, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail (BN-Arau) yang membangkitkan perkara itu berkata, baja berasaskan najis babi itu telah digunakan secara meluas khususnya di kawasan penanaman padi sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu berkata, kewujudan baja tersebut disedarinya kira-kira dua tahun lalu apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai pertanian berketurunan Cina yang kebetulan terbaca mengenai makluman kandungan yang tertera pada bungkusan baja itu.

``Waktu itu saya sedang melawat kawasan penanaman padi dan kemudiannya pesawah di situ pun terkejut sebaik dimaklumkan kerana tidak tahu yang selama ini mereka guna baja berasas najis babi memandangkan makluman kandungan yang tertera adalah dalam bahasa Mandarin.

``Ini satu perkara yang perlu ditangani segera kerana ia melibatkan soal hukum, jika tidak mengenai makanan sekalipun, ia tetap terkena para petani yang menggunakannya,'' katanya.

Tambah Syed Razlan, menurut maklumat yang diterimanya, baja organik China mula dibawa masuk ke negara ini kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding negara lain seperti Jerman, Jepun dan keluaran tempatan.

``Harga modal baja organik China hanya sekitar RM100 setiap tan berbanding baja organik tempatan yang berharga RM800 setiap tan dan dari Jepun pula mencecah RM4,000 setiap tan.

``Bagaimanapun janganlah kita lihat ia dari segi harganya sahaja kerana jauh lebih penting apakah orang yang beragama Islam tergamak hendak makan sesuatu hasil tanaman yang menggunakan najis babi sebagai baja.

``Pesawah di tempat yang menggunakan baja China ini terus mandi longkang untuk samak apabila saya beritahu tentang hal ini dan ini menunjukkan para petani sendiri tidak mahu gunakan baja jenis ini walaupun harganya rendah,'' jelasnya.

Menurut Syed Razlan, sebagai jalan keluar daripada masalah ini, baja-baja organik yang diimport iaitu bukan sahaja dari China tetapi juga dari negara-negara lain harus diselidiki terlebih dahulu untuk pastikan bahan asasnya.

No comments:

Post a Comment

AddThis